mutakhir

Hati-hati dengan ibu kutu

Oleh Hasbi Sidek

MAIN kutu adalah satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih dari RM500,000 atau boleh dijatuhi dihukum penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melalui laman Facebook (FB) Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police berkata, terdapat beberapa kes apabila penganjur atau 'ibu kutu' yang menghilangkan diri bersama wang yang dibayar pelabur atau peserta.

"Di bawah Sek 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu.

"Mana-mana orang untuk menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan itu melakukan suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya," tulis kenyataan terbabit.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati jika menyertai mana-mana aktiviti kutu kerana selain melanggar undang-undang, ia juga berisiko untuk ditipu.

"Tetapi, jika ibu kutu lari (menghilangkan diri), anda tetap boleh membuat laporan polis di balai berhampiran dan kebiasaannya kes ini akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disiasat," katanya.

NSTP sebelum ini juga pernah melaporkan beberapa kejadian mangsa ditipu ibu kutu terutama membabitkan pakej umrah yang ditawarkan syarikat tertentu dengan tawaran menarik.

Pada 3 Jun lalu NSTP turut melaporkan sembilan wanita di Segamat, Johor, kerugian ribuan ringgit selepas diperdaya ibu kutu berusia 30-an yang melarikan wang pelaburan mereka.

Mangsa yang sebahagian besarnya suri rumah mendakwa melabur RM200 hingga RM4,500 bagi mendapatkan pulangan berkali ganda seperti dijanjikan ibu kutu yang juga seorang wanita.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 10:21am
d