mutakhir

'Betul-betul terbakar pulak...'

Oleh Hasbi Sidek

SERAMAI 20 kru yang sedang menjalankan sesi penggambaran di kawasan hutan berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Bukit Puchong, Puchong terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terhidu asap, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, kumpulan berkenaan sedang menjalankan sesi penggambaran membabitkan babak kebakaran sebelum api mencetuskan kebakaran di set penggambaran itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putrajaya Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Putrajaya Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian pada 7.06 pagi.

“Seramai empat anggota bergegas ke lokasi selepas difahamkan 20 kru penggambaran terhidu bau asap.

“Pasukan kami memberi bantuan awal dan membawa mangsa ke Hospital Serdang.

“Mangsa turut dibawa menggunakan ambulans pihak hospital. Punca kebakaran tidak dapat dipastikan, namun maklumat awal mendapati mereka menjalankan babak kebakaran sebelum api merebak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut bergegas ke lokasi untuk operasi memadamkan kebakaran.

Katanya, semua kru terbabit tidak melecur, namun didapati terhidu asap termasuk seorang daripadanya dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke zon merah Hospital Serdang.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 11:52am
d