mutakhir

[UPDATE] Alhamdulillah, dapat bersekolah semula...

Oleh Ramli Ibrahim

KESEDIHAN tiga beradik kerana terpaksa berhenti sekolah akibat kemiskinan keluarga, berakhir hari ini apabila mereka kembali semula ke sekolah di Gua Musang.

Nur Aidil Balqis Abdul Rahman, 13, memulakan pembelajaran hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Wangi, manakala adiknya Nur Alia Adila, 11 dan Nur Alia Apira, 9, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

Ketiga-tiga mereka dari Kampung Panggong Lalat, di sini, dibenarkan tinggal di asrama di sekolah berkenaan bagi menjimatkan perbelanjaan keluarga termasuk kos pengangkutan dan makan.

Ketika ditemui di rumahnya, Nur Aidil Balqis mengakui amat gembira apabila Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengurus proses persekolahan mereka semula.

Nur Aidil Balqis berkata, dia dan adiknya gembira kerana dapat bersekolah semula dan tidak lagi rasa terasing apabila kawan sebaya lain pergi ke sekolah.

"Kami melaporkan diri di sekolah pada Rabu lalu dan memulakan pengajian sepenuhnya hari ini," katanya.

Tiga beradik itu sebelum ini bersekolah di SK Pengkalan Kubur, Tumpat dan terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan keluarga sebelum berpindah ke Kampung Panggong Lalat pada April tahun lalu.

Ibunya, Zuraini Mat Rani, 31, berkata, mereka menerima banyak sumbangan daripada orang ramai yang prihatin dengan nasib tiga anaknya yang tidak bersekolah.

Katanya, wang yang diterima daripada penderma itu akan dibelanjakan untuk persekolahan tiga anaknya.

"Saya amat terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak hingga tiga anak saya dapat meneruskan persekolahan semula," katanya.

Berita berkaitan

Bantu kami sambung bersekolah...

'Kami malu dengan kawan-kawan'

Belajar semula

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 1:57pm
d