mutakhir

Potong elektrik pusat judi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LAPAN premis termasuk dua rumah yang pernah diserbu polis sebelum ini kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dipotong bekalan elektrik mulai hari ini.

Operasi pemotongan yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, diketuai Inspektor Darlveen Singh bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula pada jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang.

Antara lokasi operasi pemotongan adalah di Kuala Kedah, Alor Setar, Anak Bukit, Langgar dan Pokok Sena.

Operasi juga mengesyaki sebuah dari premis yang dikesan menjalankan aktiviti judi dalam talian yang berselindung di sebalik kedai makan di Kuala Kedah, masih meneruskan kegiatan haram berkenaan.

Ini berikutan pemeriksaan mendapati terdapat lubang kecil di bahagian pintu belakang premis itu disyaki dijadikan tempat transaksi pembelian kad tambah nilai untuk memudahkan pelanggan mengakses permainan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya pernah menyerbu kedai makan terbabit dan menahan dua lelaki iaitu kaki judi dan peniaga pada minggu lalu, untuk membantu siasatan.

“Kedai makan ini beroperasi pada waktu malam di bahagian depan manakala kegiatan perjudian itu dilakukan di bahagian belakang premis berkenaan.

“Sebuah rumah di Taman Restu yang pernah diserbu kerana dijadikan tempat pengumpulan maklumat judi dalam talian bulan lalu turut dipotong bekalan elektrik bersama sebuah rumah di Taman Saga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, pihaknya berharap dapat membanteras kegiatan perjudian di daerah ini dari terus berleluasa dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan ini.

Beliau berkata, kesemua premis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 4:23pm
d