mutakhir

'Senyumanmu akan ku kenang'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“TIDAK sangka itu senyuman terakhirnya dan saya akan kenang buat selamanya," luah Arif Syariman Razli, 22, kenalan kepada mangsa kemalangan maut di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Terminal Kenderaan Berat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Dalam kejadian 7.40 pagi itu, mangsa Muhammad Afiq Luqman Mohd Aris, 19, yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas.

Menurut Arif Syariman, kejadian berlaku amat pantas dan ketika itu dia bersama mangsa menaiki motosikal berasingan, dalam perjalanan ke tempat kerja yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

"Tidak sampai satu minit kami berselisih di lampu isyarat dan dia sempat tersenyum kepada saya sebelum meneruskan perjalanan.

"Tiba-tiba sahaja ketika mahu membelok ke kanan motosikalnya terbabas lalu dia melambung kira-kira 10 meter ke bahu jalan sebelum terjatuh di tepi longkang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia mengenali mangsa kira-kira setahun lalu selepas mereka bekerja di kilang elektronik yang sama sebagai operator.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Khairulzaman Ishak berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala ke persimpangan lampu isyarat Terminal Kenderaan Berat Lebuh SPA.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 5:10pm
d