mutakhir

RM2.6b: Bank Negara OK je - Najib

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan surat berkaitan derma dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya yang diterima oleh bank menggunakan kepala surat Putera Abdulaziz Al-Saud dan ditandatangani individu yang sama.

Beliau mendakwa, semua pemindahan dana terbabit juga tidak pernah dipertikaikan oleh bank penerima dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Terdapat satu artikel hari ini yang memetik kenyataan seorang penyiasat yang tidak dinamakan mendakwa semua surat berkaitan derma tidak ditandatangani oleh Putera Abdulaziz Al-Saud sendiri tetapi oleh seseorang yang mendakwa dirinya sebagai pembantu putera itu.

“Mereka yang membaca artikel ini tanpa memikir dengan lebih mendalam akan membuat kesimpulan bahawa saya cuba memperdaya rakyat.

“Pada ketika saya tidak boleh mengesahkan apa yang dikatakan penyiasat itu mengenai tandatangan itu, apa yang saya tahu dalam dunia perniagaan, ada juga berlaku kakitangan menandatangani surat bagi pihak majikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan seorang penyiasat yang tidak dikenali di sebuah portal berita bahawa surat pemindahan dana ‘derma’ yang didakwa Najib sebagai bukti, bukan ditandatangani oleh nama putera Arab Saudi terbabit sebaliknya ditandatangani oleh individu bernama Mohammad Abdullah Al Koman.

Mengulas lanjut, Najib berkata, artikel yang disiarkan itu tidak menyatakan mengenai dokumen rasmi bank yang menunjukkan pemindahan dana melalui akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi dan dari bank akaun milik Putera Faisal bin Turkey bin Al-Saud di Arab Saudi.

“Artikel itu turut tidak menyatakan fakta bahawa saya telah memulangkan RM2.6 bilion kepada Tanore beberapa bulan selepas menerimanya seperti ditunjukkan oleh dokumen bank yang saya kongsikan minggu lalu.

“Perkara ini turut disahkan oleh Wall Street Journal (WSJ) melalui buku ‘The Billion Dollar Whale’ yang membuktikan saya tidak mencuri atau menyimpan berbilion Ringgit untuk kegunaan peribadi dan saya bukanlah penyangak, penyamun atau pencuri sebagaimana dituduh pelbagai pihak,” katanya.

Najib sebelum ini mendedahkan beberapa dokumen penyaluran dana daripada bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz bagi mengesahkan wang RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Menerusi akaun Facebooknya, Najib mendedahkan tiga dokumen daripada Almarhum Raja Abdullah dan satu daripadanya tertera perkataan `Recognition of Contribution to the Islamic World’ bertarikh 1 Februari 2011.

Dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan yang diterima bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 6:14pm
d