mutakhir

Tayar kereta pecah ragut nyawa

Oleh Ramli Ibrahim

HAJAT seorang lelaki untuk bermain bola sepak bersama rakannya tidak tercapai apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 9, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini.

Mangsa, Mohd Zulhilmi Ariffin, 30, maut apabila kereta Honda Civic Ferio dipandunya melanggar Toyota Hilux dari arah bertentangan, dalam kejadian 8.30 pagi.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk bermain bola sepak di Rancangan Tanah FELDA Chiku.

Bagaimanapun, Mohd Zulhilmi yang tinggal di Kampung Lembaga, Gua Musang dipercayai berpatah balik semula atas sebab tidak diketahui sebelum kejadian itu berlaku.

Bapa mangsa, Ariffin Mat Jusoh, 74, berkata anaknya ada memaklumkan kepadanya untuk ke FELDA Chiku untuk bermain bola sepak bersama rakannya.

Katanya, Mohd Zulhilmi kerap bermain bola sepak walaupun ada mengadu sakit paha selepas beberapa kali menyertai perlawanan sebelum ini.

“Dia bertolak dari rumah pada 7.50 pagi dan mungkin Mohd Zulhilmi berpatah balik kerana kakinya sakit sebelum kemalangan itu berlaku,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar kereta mangsa pecah di tempat kejadian menyebabkan keretanya berpusing di atas jalan.

Beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan roda dari Gua Musang yang melihat kenderaan dipandu mangsa berpusing, terpaksa memberhentikan kenderaannya.

Katanya, kereta mangsa berpusing beberapa kali dan terus terbabas merempuh kenderaan pacuan empat roda menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Toyota Hilux tidak cedera dan mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 1:36pm
d