mutakhir

[UPDATE] 92 rumah, 38 sekolah rosak

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEBANYAK 92 rumah dan 38 sekolah mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda seluruh Perlis, malam semalam.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas teruk ialah Bintong, Seriab, Abi Tok Hashim dan Kuala Perlis dengan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.

Jurucakap Sekretariat Agensi Pengurusan Bencana Negeri (APBN) berkata, setakat jam 10 pagi ini, pihaknya menerima 157 laporan kes pokok tumbang.

“Sekretariat bersama agensi seperti polis, bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat menjalankan kerja pembaikan dan pembersihan di kawasan terjejas teruk.

“Dalam kejadian malam tadi, angin kencang dengan kelajuan 37 knot (68.7 kilometer/sejam) turut menumbangkan pelbagai struktur seperti pintu gerbang di Repoh dan beberapa pokok besar.

“Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Negeri sudah menerima enam kes kemalangan yang berlaku dengan dua daripadanya membabitkan kematian,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Menurutnya, keutamaan pihak berkuasa dan agensi berkaitan ketika ini ialah membersih dan mengalih laluan yang dihalang pokok tumbang bagi memastikan aliran trafik kembali normal.

“Pemantauan juga dilakukan terhadap rumah yang mengalami kerosakan teruk dan usaha membantu penduduk sedang giat dilaksana.

“Kita juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan hari ini berikutan laporan cuaca yang masih tidak menentu,” katanya.

Malam tadi, NSTP melaporkan mercu tanda dan beberapa pokok besar di sekitar negeri ini tumbang berikutan hujan lebat dan angin kencang.

Semasa angin kencang melanda negeri ini, tiga mangsa terdiri daripada suami isteri dan anggota polis maut selepas kereta mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Bukit Chabang, Padang Besar.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Dia dijangka bersalin hari ini'

'Nasib baik kena kereta je...'

'[UPDATE] Tiga maut kemalangan dalam ribut [METROTV]'

'Ribut membadai Perlis'

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 2:52pm
d