mutakhir

'Dadah ada, senjata api pun ada...' [METROTV]

Oleh Rosliza Mohamed

SEORANG lelaki ditahan bersama dadah, senapang dan pistol tiruan dalam serbuan di bangsal di kawasan kebun getah berhampiran sungai di Kampung Kubang Binjai, Pasir Mas, pada 13 September lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada 2 petang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, berkata ketika serbuan itu, suspek sedang berehat di bangsal yang jaraknya kira-kira 100 meter dari jalan kampung berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan di bangsal itu menemui senapang sudah berkarat jenis Romington, pistol tiruan dan ketulan dadah jenis ganja seberat 1,588.2 gram (g) dianggarkan bernilai RM4,500.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung rampasan berkenaan kerana suspek memberi alasan itu bukan miliknya.

“Pada masa sama, kami sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan anak lelakinya berusia 23 tahun bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, bangsal itu dipercayai dijadikan ‘port’ dadah sejak kebelakangan ini.

“Suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkait kes dadah dan ujian saringan adalah negatif.

“Siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sindiket terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan senjata api,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 6:18pm
d