mutakhir

Kena 7 jahitan lawan perompak

Oleh Poliana Ronnie Sidom

WANITA terpaksa menerima tujuh jahitan di lengan selepas rumah sewa didiami dimasuki perompak dalam kejadian di Taman Tyng, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, wanita berusia 28 tahun itu sedang tidur sebelum dikejutkan lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam dan bertopeng sambil mengacukan pisau di leher mangsa.

Suspek kemudian mengarahkan wanita terbabit meniarap dan mengambil wang RM100 serta seutas gelang emas milik mangsa, sebelum keluar.

Bagaimanapun, suspek dipercayai masuk semula dalam bilik mangsa yang terletak di tingkat bawah dan terus menutup mulut mangsa menggunakan pita pelekat serta mengikat tangan dan kaki mangsa, sebelum dipercayai cuba membuka seluar.

Wanita terbabit dipercayai meronta dan dapat melepaskan diri, sebelum menjerit menyebabkan suspek melarikan diri.

Dua rakan mangsa yang tidur di tingkat atas rumah dikatakan cuma menyedari kejadian terbabit selepas mendengar jeritan mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di lengan dipercayai terkena pisau ketika cuba melepaskan diri.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan semasa merompak.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 6:54pm
d