mutakhir

Dikebumi dalam satu liang lahad

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

JENAZAH suami isteri yang maut dalam kemalangan ketika cuaca ribut di Bukit Chabang, malam semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Mak, Padang Besar, petang tadi.

Turut dikebumikan dalam satu liang lahad itu jenazah bakal anak kedua pasangan terbabit yang meninggal dalam kandungan akibat kemalangan berkenaan.

Bapa saudara mangsa, Nor Shahril Md Yusop, 29, berkata, jenazah bayi lelaki itu dibedah doktor di Hospital Tuanku Fauziah pagi tadi, memandangkan usia kandungan yang sudah matang.

“Keluarga arwah Siti Asmah Abdul Khalid, 27, amat mengharapkan kelahiran bayi lelaki berikutan semua adik-beradiknya adalah perempuan dan anak sulung pasangan itu juga perempuan.

“Tiada siapa tahu jantina bayi yang dikandung arwah dan harapan keluarganya menimang cucu lelaki tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, Nissan Murano dipandu Muhammad Hafiz Johari, 28, dan Siti Asmah bersama anak perempuan mereka bertembung dengan Perodua Kancil dipandu Muhammad Amirul Naim Aziz, 24, yang turut maut.

Nor Shahril berkata, pasangan terbabit yang juga sekampung sepatutnya berpindah ke rumah baharu yang siap dibina beberapa bulan lalu.

“Mereka dalam proses memindahkan perabot dan kelengkapan ke rumah baharu yang terletak di kawasan ini.

“Anak sulung mangsa yang terselamat, Alya Huwaynaa, 4, mungkin dijaga keluarga bapa saudara saya, Abdul Khalid Mustafa, kerana dia adalah satu-satunya cucunya," katanya.

Difahamkan, kanak-kanak itu mengalami patah kaki dan masih dirawat di HTF dengan keadaannya dilaporkan stabil.

Berita berkaitan

'Naim tak balik dah...' [METROTV]

[UPDATE] Tiga maut kemalangan dalam ribut [METROTV]

Ribut membadai Perlis

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 7:54pm
d