mutakhir

[UPDATE] Adik ipar sahkan identiti mangsa tetak

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LELAKI ditemui maut ditetak di kawasan semak dekat Kampung Berembang Hulu, Ampang, hari ini, dikenal pasti sebagai warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, menerusi pengecaman dibuat, mangsa dikenal pasti sebagai Ziadul, 34, yang bekerja sebagai buruh kasar.

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan juga mengesahkan mangsa mati akibat kesan luka berpunca tetakan pada muka dan leher.

“Pengecaman dibuat oleh adik ipar mangsa sendiri yang datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bagaimanapun, buat masa ini kita masih mengumpul maklumat mengenai punca kejadian selain mengesan suspek," katanya ketika dihubungi NSTP.

Hamzah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang atau mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam kejadian jam 3 pagi, mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam kawasan semak dengan kesan tetakan pada bahagian muka dan leher.

Polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.

Mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

Warga asing maut ditetak

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 10:03pm
d