mutakhir

Perluas rangkaian produk melalui francais

Oleh Azura Abas dan Siti A'isyah Sukaimi

NASI lemak, dim sum dan tosei antara makanan di Malaysia yang berpotensi untuk diperluaskan jualannya menerusi sistem francais sekali gus mampu menembusi pasaran dunia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, belum banyak produk keluaran negara ini yang diperluaskan melalui sistem francais dan usahawan disaran merebut peluang dengan menerokai industri itu.

“Di Malaysia belum banyak makanan dan barangan yang dikeluarkan oleh kita difrancaiskan. Jadi masih ada peluang untuk mengenal pasti apa jenis kedai supaya dikembangkan secara francais.

“Kita mempunyai tiga kaum besar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India dengan pelbagai makanan yang sedap, (tetapi) kita belum dapat lihat francais yang besar dalam penjualan makanan seperti nasi lemak, dim sum dan tosei.

“Jika (makanan) ini dipasarkan menerusi francais, saya yakin di merata dunia akan kita dapat penjualan nasi lemak, dim sum dan tosei,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Francais Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Radzali Hassan.

Pada majlis berkenaan, Dr Mahathir menyampaikan trofi dan sijil kepada wakil Global Art & Creative Sdn Bhd yang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Francais Terbaik 2018.

Selain itu, wartawan Berita Harian Mohd Alzahrin Alias dari Meja Ekonomi turut menerima trofi dan sijil bagi penghargaan khas media disampaikan oleh Saifuddin Nasution.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kurang pengetahuan dan kefahaman mengenai pengurusan francais menjadi faktor produk makanan serta barangan dari Malaysia belum diperluaskan melalui sistem itu seperti jenama besar lain.

“Justeru, saya berharap mereka yang memenangi anugerah pada malam ini akan memikirkan mengenai perkara ini.

“Kemenangan ini juga adalah langkah baik dalam usaha mengembangkan sistem francais supaya mereka yang tidak mengetahui mengenai perniagaan boleh menceburinya,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 10:35pm
d