mutakhir

RUMAWIP lebih besar

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Saiz setiap unit kediaman Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah pada masa depan akan diluaskan menjadi minimum 900 kaki persegi berbanding 800 kaki persegi ketika ini.

Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata, ia antara penambahbaikan yang akan dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan inisiatif projek RUMAWIP yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu selari dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain proses pelantikan pemaju yang dibuat secara tender terbuka bagi mengelakkan berlakunya rasuah dan penyelewengan.

“Ini membuktikan bukan semua inisiatif BN kita tolak kerana pelaksanaan RUMAWIP yang menggunakan kaedah cross-subsidy ini bagus tanpa perlu kerajaan mengeluarkan satu sen pun.

“Dalam projek RUMAWIP akan datang, KPKT dah putuskan saiz minimum unit kediaman ini bukan lagi 800 kaki persegi yang ada sekarang tetapi 900 kaki persegi. Buat masa sekarang ini, saiz diputuskan sebelum ini kita teruskan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jualan dan Permulaan Kerja Bangunan RUMAWIP Residensi Rampai II di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi CRSC Group, Datuk Seri Lawrence Low Wui Keong.

Tambahnya, penambahbaikan lain adalah memastikan proses lantikan pemaju RUMAWIP dibuat melalui tender terbuka bagi mengelakkan berlakunya amalan rasuah berbanding cara dilakukan kerajaan BN sebelum ini yang berunding terus dengan pemaju tertentu.

“Bila melalui tender terbuka, kita akan dapat lebih banyak tawaran daripada pemaju dan akan pilih yang terbaik. Bila berlaku rasuah atau penyelewengan, akhirnya yang akan menjadi mangsa adalah rakyat.

“Anggapan bila rasuah ini konon pemaju beri rasuah daripada keuntungan adalah silap kerana pemaju kalau dia boleh bayar (rasuah) itu dia bil (caj) balik pada rakyat menjadikan rumah lebih mahal. Itu yang kita kena hentikan,” katanya.

Mengulas perkembangan RUMAWIP, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, sebanyak 55,974 unit RUMAWIP sudah diluluskan membabitkan 89 projek sejak program itu bermula pada 2013 sehingga 31 Ogos lalu.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 11:29am
d