mutakhir

23 botol arak dirampas [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

SEBANYAK 23 botol arak dirampas polis dari premis menjual minuman keras di Jalan Selingsing 4, Taman Sri Kuching, Kuala Lumpur, hari ini.

Serbuan kira-kira 11 pagi itu dilakukan susulan kematian empat indvidu di sekitar ibu kota akibat minum minuman keras jenama berkenaan pada 14 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya turut menyerbu dua lagi premis masing-masing di Jinjang Utara dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur namun tidak menemui dua jenama berkenaan.

"Berdasarkan analisa yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan terhadap dua jenama berkenaan mendapati ia mengandungi bahan kimia jenis metanol yang ia boleh mengancam nyawa manusia.

"Susulan itu, pihak kami menyerbu premis berkenaan secara serentak dan merampas arak dengan nilai harga dianggarkan RM300," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Beliau berkata, empat individu yang dipercayai meninggal dunia akibat minum kedua-dua jenama ini menunjukkan simptom yang hampir sama iaitu mengalami kekejangan, cirit-birit dan muntah.

Menurutnya, pihaknya turut menahan dua lelaki yang juga penjaga premis berkenaan bagi membantu siasatan.

"Seorang lelaki tempatan berusia 50-an dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 40-an ditahan dalam serbuan ini. Premis ini juga didapati menjual arak tanpa lesen.

"Pihak kami merampas dua jenis arak berkenaan bagi memastikan tiada lagi kes kematian akibat terminum alkohol beracun yang mengandungi bahan kima metanol.

"Pemeriksaan berterusan akan dijalankan dari masa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 7:09pm
d