mutakhir

Nak lari ke mana adik...?

Oleh Noorazura Abdul Rahman

TIDAK sampai 24 jam melarikan diri, seramai 10 penghuni pusat pemulihan akhlak di Pokok Sena, Alor Setar berjaya ditahan semula jam 3.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, sembilan daripada mereka ditahan di kawasan semak di Kampung Sungai Durian, kira-kira dua kilometer dari asrama terbabit.

Katanya, sebelum itu seorang penghuni berusia 17 tahun menyerah diri jam 5.30 pagi.

“Polis menerima panggilan jam 3 petang tadi daripada orang awam memaklumkan ternampak beberapa lelaki di dalam semak di kawasan berdekatan Kampung Sungai Durian.

“Pemeriksaan kemudian menemui sembilan penghuni dalam keadaan lemah dan kelaparan. Selepas dipujuk kesemua penghuni itu kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pokok Sena,” katanya.

Dalam kejadian antara jam 5.30 petang hingga 9 malam semalam, seramai 10 penghuni terbabit bertindak melarikan diri melalui pintu pagar bahagian belakang asrama dengan cara mengumpil pintu dan memotong pagar.

Difahamkan, ada antara penghuni terbabit mempunyai rekod dadah dan jenayah dengan lapan daripadanya sedang menjalani tempoh hukuman, manakala dua dalam perbicaraan.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 7:36pm
d