mutakhir

Keluarga dapat wang insurans

Oleh Hadzlihady Hassan

“SYUKUR saya ucapkan kerana pemberian ini sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban kami sekeluarga,” kata Mohd Kassim Mat Jusof, 27.

Lelaki itu adalah bapa kepada kanak-kanak lelaki, Muhammad Shobirin, 6, yang meninggal dunia akibat dirempuh lori ikan ketika melintas jalan di Taman Sahabat, Teluk Kumbar, Balik Pulau, 7 Jun lalu.

Mohd Kassim berkata, walaupun sudah hampir empat bulan kehilangan anak akibat kemalangan, namun ingatan terhadap arwah masih kuat lebih-lebih lagi apabila memandang kanak-kanak lain yang sebaya anak mereka.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda kerana Tuhan masih sayangkan arwah,” katanya.

Dia bersama isteri, Sakinah Kholin, 25, ditemui di rumah mereka di Taman Sahabat, Bayan Lepas selepas menerima cek tuntutan insurans kemalangan berkelompok kanak-kanak tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Pulau Pinang bernilai RM15, 000.

Cek berkenaan diserahkan Pengarah KEMAS negeri Mohd Zaki Ismail.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga KEMAS Pulau Pinang (PEKA) Abdullah Mohamed Shariff.

Sementara itu, Abdullah berkata, sumbangan wang insuran itu adalah paling banyak dilakukan PEKA pada tahun ini kerana membabitkan kematian.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan kes hanya kemalangan kecil dan kanak-kanak yang belajar di tadika atau taska KEMAS dilindungi insurans dengan caruman RM10.60 setahun.

“Insurans kelompok yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu, kanak-kanak yang belajar di tadika atau taska KEMAS di negeri ini akan dilindungi 24 jam, namun ia perlu mengikut kriteria ditetapkan.

“Untuk tahun ini, kita mungkin akan menaikkan sedikit bayaran, namun ia masih dalam perbincangan dan jika terlaksana, waris kepada kanak-kanak yang ditimpa musibah akan mendapat pampasan lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 11 malam 7 Jun lalu, mangsa maut akibat parah di kepala dan kaki kiri.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 10:48pm
d