mutakhir

Vivo V11 beri imej sempurna, reka bentuk menarik

Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur: Vivo Malaysia memperkenalkan model telefon pintar terbarunya, Vivo V11 dan V11i yang didatangkan dengan kamera kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan gambar lebih tepat serta reka bentuk mengagumkan.

Dijual pada harga RM1,699 untuk V11 dan RM1,299 (V11i), dua model ini direka dengan skrin paparan penuh Halo FullView.

Ia juga didatangkan dengan pilihan warna fusion hitam dan biru, Starry Night dan Nebula, serta diperincikan dengan sisi melengkung yang memberi keselesaan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mike Xu, berkata model V11 boleh didapati bermula 15 September lalu manakala V11i pula esok di seluruh negara.

Katanya, produk kali ini penuh inovasi untuk membolehkan mereka memberi sentuhan lebih peribadi kepada pengguna Vivo.

“Kami menawarkan kualiti kamera AI yang luar biasa dan memperkenalkan teknologi pengimbas cap jari kali pertama diperkenalkan dalam siri ini,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan pengguna yang menginginkan fotografi yang lebih hebat dan sesuai digunakan di mana jua, model V11 ini mempunyai kombinasi kamera belakang dua dimensi dengan 12 megapiksel (MP) + 5MP dengan apertur sebesar f/1.8 dan 1.28um piksel serta kamera depan dengan 25MP. Menariknya, kamera belakang juga mempunyai Pengesan Dual Piksel dengan 24 juta unit fotosensitif bagi cahaya sensitif serta teknologi auto fokus dengan standard DSLR yang boleh mengunci fokus hanya dalam 0.03 saat.

Untuk swafoto yang sempurna di mana saja pada bila-bila masa, V11 turut memperkenalkan teknologi bentuk Mula AI yang menambahbaik ciri muka serta memberikan hasil terbaik dan nampak semula jadi.

Selain fotografi, V11 ini juga didatangkan dengan sokongan telefon pintar iaitu Jovi dengan ciri Smart Scene, Google Lens dan Google Assistant.

Dari segi spesifikasi, Vivo V11 menggunakan panel Super AMOLED, cip Snapdragon 660 AIE, memori 6GB RAM dan storan 128 GB.

Funtouch OS 4.5 terbaru (berdasarkan Android 8.1) dan Vovi Jovi AI Engine juga bekerjasama untuk memperuntukkan sumber CPU dan memori dengan cekap untuk mengendalikan pelbagai operasi kompleks.

Vivo V11i pula dilengkapi dengan cip MediaTek P60, memori 4GB RAM dan storan 128GB.

Dalam usaha untuk terus berhubung dan mendekati pelanggan, Vivo juga melantik duta baru, pelakon dan penyanyi terkenal Lu Han.

Menerusi pelantikan itu, Lu Han terbabit dalam aktiviti pemasaran dan komunikasi bersama pelanggan Vivo serta peminat melalui inisiatif dalam talian di samping Janna Nick, Alvin Chong dan Joyce Chu.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 11:48am
d