mutakhir

'Ada antara kita meninggal dulu'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kota Tinggi: “Kami berkongsi mimpi yang sama didatangi ramai orang ke rumah,” kata Ruzila Md Shariff, 54, isteri kepada warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 65 Kota Tinggi ke Sungai Rengit di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.23 pagi, kereta Mercedes-Benz dipandu Pengerusi KOPENDA, Sariff Abdul Karim, 73, terbabit kemalangan dengan motosikal Kawasaki Versys ditunggang Muhammad Farid Mat Sambilan, 32.

Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk siasatan lanjut.

Ruzila berkata, ketika diajukan mengenai mimpi itu suaminya hanya membalas ada antara mereka berdua meninggal dunia dahulu.

“Saya membalas dengan memberitahu mahu mati bersama-sama. Dia (arwah suami) bagaimanapun membalas biar dirinya pergi dahulu kerana saya boleh menjaga anak kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT, semalam.

Katanya, dia juga tidak menyangka perbualan bersama arwah suaminya petang kelmarin menjadi petanda terakhir sebelum meninggal dunia, semalam.

“Tidak ada sebarang perubahan terhadap suami cuma ketika berbual-bual petang kelmarin, dia ada menyebut mengenai ada tanda-tanda kematian pada dirinya. Saya anggap ia sebagai perbualan biasa kerana dia suka berborak bersama saya pada waktu lapang,” katanya.

Katanya, paling terkesan arwah suaminya juga berpesan supaya dia memandikan jenazahnya jika meninggal dunia.

Ibu kepada 12 anak itu berkata, kemalangan terbabit diketahui daripada jirannya sebelum ke HKT untuk menuntut jenazah suaminya.

Katanya, suaminya yang juga Pengerusi KOPENDA mahu ke Petron FELDA Pasak untuk menguruskan hal koperasi.

“Setiap hari saya akan menemani suami namun menolak ajakannya pagi ini (semalam) kerana penat.

“Pada masa sama, saya juga mahu menyiapkan masakan tengah hari perut kambing permintaan suami,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 11:59am
d