mutakhir

Parah bergelut dengan perompak

Oleh Erika George

WARGA emas parah selepas bergelut dengan perompak yang menceroboh rumahnya di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang sedang nyenyak tidur dalam biliknya hanya tersedar rumahnya dimasuki perompak selepas terdengar bunyi bising dari ruang tamu sebelum bingkas bangun untuk memeriksa keadaan, pada 11 pagi.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran mangsa cuba menekup muka wanita warga emas itu. Mangsa kemudian menepis tangan suspek sebelum kedua-duanya bergelut. Ketika itulah, mangsa terkena objek tajam pada bahagian muka dan badannya, dipercayai senjata tajam digunakan dalam suspek untuk merompak.

“Melihat mangsa mengalami pendarahan teruk dan lemah, suspek terus melarikan diri bersama beg tangan mangsa mengandungi pelbagai dokumen penting, termasuk wang tunai RM500,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk di rumah mangsa dan usaha sedang dijalankan bagi mengenalpasti identiti suspek.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Zulkipli berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Bintulu dan keadaannya dilaporkan stabil, namun masih mengalami trauma susulan kejadian menimpanya.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 12:29pm
d