mutakhir

Sengsara si Arjuna

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Meruntun hati saya apabila melihat anak kesayangan menangis kesakitan akibat ruam teruk atau ekzema termasuk menggaru di bahagian badannya sehingga berdarah.

“Sebelum ini, saya pernah mendapatkan rawatan di hospital swasta namun tidak mampu kerana untuk sekali rawatan menelan belanja sekitar RM200 hingga RM300.”

Itu luahan ibu kepada Thaqif Arjuna Hapandi yang berusia tiga bulan, Nur Athirah Zainul Abidin, 31, berhubung keadaan anaknya yang menderita sakit ekzema sejak berusia dua bulan.

Nur Athirah berkata, sejak bulan lalu, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk mendapatkan rawatan pakar namun penyakit anaknya tetap sama.

“Doktor memaklumkan kepada saya anak menderita sakit ekzema yang kritikal dan membekalkan losyen khas kepadanya. Memang ada kurangnya, tetapi jika losyen itu habis, ruam kembali teruk.

“Biasanya losyen diberikan itu habis digunakan dalam tempoh seminggu.

“Apa yang menyedihkan saya apabila anak sering menangis dan merengek kesakitan. Permukaan kulitnya pula selalu kering dan berdarah kerana ekzema.

“Saya tidak tahu ikhtiar apa yang diperlukan. Untuk mendapatkan rawatan berterusan di hospital, saya tidak mampu. Suami hanya bekerja sebagai tukang cuci kereta saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi membiayai perubatan adik Thaqif Arjuna boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB milik Nur Athirah, 07140147267526.

Dia yang tinggal di Ayer Hitam, Pulau Pinang berkata, pada peringkat awal, anaknya hanya mengalami ruam di bahagian muka dan kelihatan tidak begitu teruk.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 1:42pm
d