mutakhir

Maut ditembak empat das

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENIAGA lelaki maut selepas ditembak dua lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Timah 9, Skudai, petang semalam.

Mangsa, Pun Chi Wee, 34, ditembak di dalam keretanya yang diletakkan di hadapan rumah sebaik pulang selepas bekerja.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata kejadian itu disedari ibu mangsa pada 6 petang yang mendengar bunyi beberapa das tembakan sebelum melihat anaknya berlumuran darah dan terbaring di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan.

“Mangsa ditemui dengan kesan tembakan di kepala, leher serta dada.

“Kami percaya empat das tembakan dilepaskan dari jarak dekat. Setakat ini, kami dapati dua suspek yang terbabit dan ketika kejadian dan mereka menaiki sebuah kereta.

“Sebaik keluar rumah, ibu mangsa hanya melihat terdapat seorang lelaki berlari masuk ke dalam kereta yang dipandu seorang lagi lelaki sebelum mereka beredar meninggalkan tempat kejadian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kulai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di Kulai, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Polis Daerah Kulai kini disandang Superintendan Tok Beng Yeow berkuat kuasa hari ini menggantikan Superintendan Dzulkhairi Mukhtar yang kini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri.

Mohd Kamarudin berkata, polis kini dalam proses siasatan mendalam bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan hasil siasatan awal, pihaknya percaya kejadian itu bermotifkan balas dendam.

“Jadi, kami sedang siasat daripada segenap sudut termasuk mengenal pasti suspek dan mungkin kejadian ini ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap atau lain-lain.

“Mangsa yang juga seorang duda berniaga kedai makan dan turut berniaga peralatan sembahyang di Gelang Patah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dalam aktiviti perjudian serta kes laporan palsu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 3:10pm
d