mutakhir

'Insiden di luar kawasan had penyelenggaraan DUKE'

Oleh Hasbi Sidek

PEMEGANG Konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) mengesahkan kawasan kejadian di mana seorang lelaki terlanggar tali halus yang merentangi jalan di susur masuk ke Taman Koperasi Polis Fasa 1 dari Lebuhraya DUKE, dekat Gombak, Isnin lalu adalah di luar had penyelenggaran pihaknya.

Unit Perhubungan Awam DUKE dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi membendung masalah serupa tidak berulang.

“Kami tampil bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung kes membabitkan seorang penunggang motosikal yang tular di laman sosial selepas dilaporkan terlanggar tali pancing di lebuh raya ini pada Isnin lalu.

“Memetik laporan akhbar tempatan, kejadian membabitkan mangsa berusia 22 tahun itu didakwa berlaku 6.30 petang di persimpangan susur keluar dari Lebuhraya DUKE menuju ke Taman Rowther dan Taman Koperasi Polis Fasa 1, Gombak, di sini.

“Justeru, KESTURI menegaskan bahawa insiden berkenaan berlaku di luar kawasan had penyelenggaraan Lebuhraya DUKE dan kes itu sudah dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan yang terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, penunggang motosikal dinasihatkan supaya lebih peka dengan keadaan sekeliling dan berhati-hati ketika menggunakan mana-mana laluan susur keluar.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan seorang penunggang motosikal Mohamad Afiq Izwan Ismail, 22, terpaksa menahan kesakitan apabila bahagian belakang lehernya melecet apabila terlanggar tali halus yang dipasang merentangi jalan di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Melawati Mall ke rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa 1 melalui Lebuhraya DUKE.

Cerita mengenai kejadian ini turut dimuat naik di Facebook miliknya sehingga tular.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof dilaporkan berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian dan tali berkenaan bukan dalam keadaan seperti sengaja dipasang.

Berita berkaitan

Boleh mati terpancung

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 3:27pm
d