mutakhir

[UPDATE] Alhamdulillah, ramai yang sedekah...

Oleh Mohd Khidir Zakaria

“SELEPAS kisah kami disiarkan, ramai yang datang bertanya khabar dan menghulurkan bantuan dan sedekah,” kata mualaf, Muhammad Abdullah, 54, yang berteduh di parkir van jenazah Masjid Bagan Pinang di Port Dickson, bersama isteri dan dua anak.

Ketika ditemui hari ini, Muhammad berkata, dia dan isteri, Siti Khadijah Abdullah, 37, serta dua anak, Siti Fatimah Muhammad, 13, dan Ibrahim Muhammad, 9, menerima ramai tetamu yang turut menyumbang pelbagai barangan makanan dan wang tunai sejak malam tadi.

Katanya, selain simpati orang ramai, ada juga cemuhan yang diterimanya, namun menganggapnya perkara biasa dan reda dengan perkara itu.

“Saya berterima kasih dan bersyukur atas kunjungan orang ramai yang bersimpati. Anak saya yang lebih seminggu tidak ke sekolah, dapat meneruskan persekolahannya hari ini,” katanya.

Muhammad yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kerana kudung kaki kanan akibat kemalangan 30 tahun lalu mendapat khabar gembira apabila ditawarkan rumah oleh dua individu di Kampung Baru Si Rusa dan Bandar Sunggala.

“Alhamdulillah ada yang menawarkan rumah dan pekerjaan kepada saya. Mungkin saya akan tinggal di Kampung Baru Si Rusa kerana dekat dengan sekolah anak.

“Buat masa sekarang, tuan rumah itu yang bergelar Datuk itu sedang mengemaskan rumah berkenaan dan mungkin minggu depan kami berpindah ke sana,” katanya.

Muhammad berkata, dia juga menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai Pusat Dakwah Islamiah Paroi dan beberapa syarikat yang menyumbang barangan makanan harian.

Harian Metro semalam melaporkan kisah Muhammad dan keluarga yang menjadikan parkir van jenazah sebagai tempat berteduh selepas terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu bayar sewa RM450 sebulan.

Berita berkaitan

'Syurgaku' ruang parkir van jenazah

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 4:23pm
d