mutakhir

300 kakitangan tetap JASA dipindahkan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SERAMAI 300 penjawat awam tetap yang sebelum ini ditempatkan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan diagihkan kepada jabatan dan kementerian berkaitan susulan pembubaran jabatan itu, bulan depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah berkata, pihaknya masih menunggu perakuan daripada Jemaah Menteri mengenai pembubaran jabatan berkenaan.

“Saya boleh sahkan bahawa 300 penjawat awam JASA akan diagihkan kepada jabatan dan kementerian berkaitan. Mereka ini adalah penjawat awam tetap dan bukannya kontrak,” katanya ketika ditemui pada program MyBest Buy FAMA @ JPA4U di Putrajaya, hari ini.

Katanya, selain itu pegawai dan kakitangan kontrak yang berkhidmat di JASA pula akan ditamatkan kontrak lebih awal.

Sementara itu, memetik kenyataan Pengarah JASA Tun Faisal Ismail Aziz dalam sebuah portal berita menyebut seramai 800 pegawai kontrak JASA akan kehilangan pekerjaan susulan pembubaran jabatan berkenaan 15 Oktober ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan jabatan akan dibubarkan termasuk JASA, Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

JASA dan JKKP perlu dibubarkan kerana ia berunsur politik.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 7:52pm
d