mutakhir

Polis periksa rumah Tun Rahah

Oleh Fazrik Kamarudin

POLIS memeriksa rumah yang didiami ibu kepada Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohd Noah di Jalan Eaton, Kuala Lumpur, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau berkata, polis tiba di rumah itu sekitar jam 2 petang ketika beliau berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pendakwaan Najib.

“Polis datang untuk memeriksa kediaman ibu Najib, hampir seluruh rumah diperiksa namun saya difahamkan tiada sebarang benda diambil oleh mereka.

“Tindakan ini dilihat seperti tidak adil, apa kaitan Tun Rahah dalam kes Najib, kalau mahu buat pemeriksaan mesti ada sebab yang munasabah," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kemudian membenarkan beliau diikat jamin RM3.5 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan Najib membayar wang jaminan RM3.5 juta secara ansuran dengan membayar RM1 juta esok dan selebihnya sehingga 28 September ini.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 8:39pm
d