mutakhir

Pencen penakat bantu balu hamil

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Pasir Gudang: Beban waris jurukimpal yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 23 Ogos lalu, diringankan menerusi faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Johor Tong Sing Chuang berkata, balu Allahyarham Zaidi Sulaiman, 44, iaitu Saswita Said, 42, turut menerima faedah pencen bulanan RM827.08 sepanjang hayatnya.

Katanya, maklumat mengenai penerima diperoleh menerusi laman sosial Facebook (FB) pada 13 September lalu, seterusnya skuad PERKESO Prihatin mendapatkan maklumat si mati dan waris bagi semakan awal.

“Hasil semakan ke atas rekod caruman si mati mendapati dia layak menerima pencen penakat dengan kelayakan dikurangkan walaupun caruman terakhirnya pada Mac 2010.

“Sehubungan itu, waris yang kematian suami akibat serangan jantung ini layak menerima skim pencen RM827.08 sebulan sepanjang hayat manakala empat anaknya berusia sembilan hingga 17 tahun menerima bayaran sehingga berusia 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian cek sumbangan yang disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim di kediaman waris di Jalan Delima 7, Taman Kota Masai dekat sini, semalam.

Sementara itu, Saswita menzahirkan rasa syukur selepas menerima cek sumbangan selain merancang menjalankan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan bagi membesarkan anaknya.

“Saya bercadang menjalankan perniagaan menjual pakaian kanak-kanak selepas saya melahirkan anak,” katanya yang kini hamil empat bulan.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 10:46am
d