mutakhir

Kantoi cuba seludup PATI

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN pemandu kereta Proton Waja yang memecut laju kenderaan sebelum melanggar beberapa kenderaan di hadapan pasar raya di Bandar Darulaman, membongkar kegiatan menyeludup enam lelaki dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar, malam tadi.

Dalam kejadian 11.05 malam itu, kereta dipandu lelaki itu. dalam perjalanan untuk membawa PATI berkenaan ke Pulau Pinang dari sempadan Bukit Kayu Hitam, Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, anggotanya sebelum itu ternampak Proton Waja itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebaik melepasi Plaza Tol Jitra dan mengarahkan pemandu terbabit berhenti menggunakan pembesar suara serta lampu beacon, namun suspek tidak mengendahkannya.

Beliau berkata, anggotanya mengekori kenderaan itu sehingga di hadapan pasar raya di Bandar Darulaman menyebabkan suspek merempuh beberapa kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat merah di situ.

“Berikutan itu, anggota polis terbabit membuat pemeriksaan dan menemui enam warga asing dalam kereta berkenaan yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan terbabit mendapati casisnya adalah palsu dan bersangkut dengan kehilangan di Kuala Perlis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, suspek mengalami kecederaan ketika kemalangan dan kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua PATI itu masuk ke negara ini dengan berjalan kaki selama tiga jam dan dibawa oleh lelaki Thailand.

“Mereka kemudian dibawa ke rumah yang tidak diketahui di mana dan tidur di situ selama dua malam.

“Hasil siasatan mendapati lima daripada PATI itu baru pertama kali memasuki negara ini dan seorang daripadanya sudah dua kali. Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 35 tahun,” katanya.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

From: Mhafis

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 12:00pm
d