mutakhir

Seronok bersanding bersama dua adik, rakan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

CUKUP unik apabila tiga daripada empat pasangan pengantin adalah adik-beradik, manakala seorang lagi rakan baik mereka yang bersanding serentak dalam satu majlis.

Ahmad Firza Syahimi Ismail, 28, dari Kampung Batu Buruk bersama adik lelaki dan perempuan, Ahmad Fazrul Syamil Ismail, 27, dan Puteri Fazira Amira Ismail, 26, serta rakan baik mereka Khairul Syakirin Mohd, 28, dari Kampung Kuala Ibai melangsungkan majlis persandingan serentak di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 25 Ogos lalu.

Ahmad Firza berkata, awalnya dia dan pasangannya, Syafikah Mustafa, 21, tidak merancang mengadakan majlis persandingan serentak itu, namun mengambil keputusan itu apabila dua adiknya bersungguh-sungguh ingin menjayakan majlis itu.

“Pada masa sama, saya dapat tahu rakan baik, Khairul Syakirin turut mengadakan majlis pernikahan pada tarikh serupa dengan kami dan mengundangnya untuk turut bersanding bersama kami.

“Kami tiga beradik dinikahkan di Surau Kampung Ladang manakala Khairul Syakirin dan isterinya, Sofia Asli, 24, di Kampung Padang Jambu, Dungun dan bersanding pada hari sama di rumah saya,” katanya.

Menurutnya, majlis itu meninggalkan kenangan paling manis buat dirinya dan isteri; Ahmad Fazrul Syamil bersama pasangannya Nurul Alia Embong, 25; Puteri Fazira Amira dan suami, Muhammad Asmawi Zakaria, 26, serta pasangan Khairul Syakirin dan Sofia.

Menurut Ahmad Firza, banyak manfaat dan kelebihan menganjurkan majlis perkahwinan serentak bersama adik-beradik serta rakan.

“Selain lebih meriah, majlis persandingan serentak dapat menjimatkan kos dan tidak membebankan sanak saudara yang menetap di luar Terengganu untuk datang ke majlis berulang-ulang.

“Memang seronok bersanding bersama, lebih-lebih lagi disertai rakan baik yang dikenali sejak berusia 16 tahun dan ia memang kenangan tidak boleh dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Syakirin berkata, dia dan Ahmad Firza bukan saja berkawan baik sejak di bangku sekolah, malah menyambung pelajaran di kolej sama iaitu di Kolej Komuniti Kuala Terengganu.

“Saya tak pernah merancang untuk berkahwin pada tarikh sama dengan rakan baik namun memang sudah ditakdirkan kami bersama-sama meraikan hari bahagia.

“Saya menyarankan kepada pasangan ingin berkahwin supaya mencipta sesuatu kelainan pada majlis perkahwinan mereka supaya detik bersejarah itu boleh dikenang sehingga ke akhir hayat,” katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 3:42pm
d