mutakhir

[UPDATE] Keluarga Vasanthapiriya tak puas hati

Oleh Audrey Dermawan

KELUARGA mendiang M Vasanthapiriya langsung tidak gembira dengan keputusan Mahkamah Koroner yang mendapati tiada unsur jenayah dalam kes remaja 14 tahun itu yang menggantung diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya

Bapanya R Muniandy berkata, harapannya untuk mendapatkan pembelaan ke atas kematian anaknya itu tidak kesampaian.

“Semua pihak, yang mengikuti kes ini daripada awal sudah mengetahui bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri. Jadi tidak ada keperluan untuk memberitahu perkara yang sama melalui mahkamah hari ini.

“Apa yang kami ingin tahu ialah punca yang membawa tindakannya untuk membunuh diri. Apa cerita di sebalik kejadian itu? Kami ingin mengetahui apa yang sebenarnya terjadi di sekolah pada hari kejadian.

“Kami langsung tidak gembira dengan proses inkues ini. Ia membuang masa. Akhirnya kami tidak mendapat apa yang diinginkan. Ternyata sia-sia kami menunggu dan kami akan terus membuang masa menunggu,” katanya kepada NSTP.

Muniandy berkata, dia akan membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi sehingga dia memperoleh jawapan.

Pagi tadi, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa punca Vasanthapiriya mati adalah akibat menggantung diri.

Koroner Norsalha Hamzah juga menolak elemen jenayah dalam kes kematian pelajar Tingkatan Dua SMK Methodist Nibong Tebal berkenaan.

Dilaporkan bahawa Vasanthapiriya meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya susulan cubaannya menggantung diri selepas dituduh mencuri iPhone milik gurunya Januari lalu.

Mendiang bersungguh-sungguh menolak tuduhan itu dan turut menulis nota menyatakan bahawa dirinya tidak bersalah.

Dia menggantung diri di rumahnya sebelum ditemui bapanya yang kemudian membawanya ke Hospital Seberang Jaya Hospital sebelum meninggal dunia 1 Februari.

Kematian pelajar berkenaan mencetuskan rasa sedih ahli keluarga, saudara dan orang ramai yang mahukan keadilan ke atas kematiannya.

Sementara itu, Presiden Malaysian Tamilar Kular, David Marshel yang bersama keluarga Vasanthapiriya menuntut keadilan sejak awal berkata, mereka yang memberi keterangan pada proses inkues itu cuba menimbulkan bahawa ‘sesuatu tidak betul’ berlaku di rumah pelajar berkenaan.

“Namun tentang senario keseluruhan di sekolah tidak diberitahu.

“Bagi menguatkan lagi dakwaan, peguam kami yang dilantik untuk menjadi peguam pemerhati tidak dibenarkan menyoal balas kepada saksi.

“Selain itu, kenapa saksi utama seperti bapa Vasanthapiriya tidak dipanggil untuk memberi keterangan? Berdasarkan laporan polis bapa saudaranya, mendiang dipukul, namun tiada langsung kenyataan dibuat mengenainya?” katanya.

David berkata, satu sidang media akan dibuat esok bagi membincangkan tindakan susulan yang akan diambil oleh keluarga mendiang.

Berita berkaitan

Mahkamah putuskan tiada unsur jenayah

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 5:41pm
d