mutakhir

'Orang solat, kau berjudi'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEMBILAN lelaki dicekup polis ketika sedang asyik bermain judi ikan laga dalam serbuan di sebuah pondok kayu di Kampung Kota Giam, Jitra, hari ini.

Suspek berusia 28 hingga 60 tahun itu masing-masing berasal di sekitar Changlun, Kodiang, Perlis dan Alor Setar ditahan pada jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Difahamkan, kegiatan judi laga ikan aktif pada hari Jumaat ketika waktu umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Kebanyakan suspek yang ditahan hanya bekerja kampung dan ada yang tidak bekerja serta mengharapkan wang pertaruhan judi berkenaan sekiranya menang.

Ikan laga yang digunakan dalam aktiviti itu dipercayai dicari sendiri oleh suspek di dalam paya sekitar Kubang Pasu sehingga ke kawasan Perlis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya turut merampas 18 balang kaca besar berisi ikan laga, 18 kepingan mozek pelapik atas balang, 30 balang kaca kecil dan 42 ikan laga.

Beliau berkata, turut dirampas, sebuah bakul rotan, sebuah jam loceng pencatat masa dan wang tunai bercampur-campur yang dirampas hasil perjudian ikan laga itu bernilai RM1,074.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan mengaku terbabit dalam perjudian laga ikan berkenaan.

“Perjudian laga ikan ini dilakukan sehingga ikan yang dilaga itu mati dan lemah bagi membolehkan pemilik ikan akan membayar wang kepada pihak lawan sekiranya ikan yang dilawan itu kalah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 6:55pm
d