mutakhir

Terapi lintah di hospital kerajaan

Oleh Ahmad Suhael Adnan

HOSPITAL kerajaan bakal memperkenalkan penggunaan teknologi terapi lintah bagi mengubati pesakit menjelang 2020.

Ketua Unit Penjagaan Luka Jabatan Perubatan Dalaman Hospital Kuala Lumpur (HKL), Profesor Dr KRN Harikrishna, berkata, kaedah perubatan itu akan digunakan bagi merawat pesakit yang mengalami bengkak, khususnya selepas menjalani pembedahan, selain kecederaan tisu.

Menerusi kaedah itu, katanya, pesakit mampu sembuh dalam tempoh lebih satu hari, berbanding tiga hingga lima hari ketika ini.

"Menerusi kaedah terapi ini, lintah akan menghisap darah dan mengurangkan bengkak dan kesakitan serta melancarkan peredaran darah pesakit, sekali gus mempercepat proses penyembuhan dan penutupan luka.

"Kaedah ini sesuai untuk pesakit pelbagai usia dan lebih berkesan berbanding menggunakan ubat yang mengambil masa lebih lama untuk menyembuhkan pesakit.

"Terapi ini berbeza dengan negara luar serta yang digunakan pihak lain kerana kita berjaya 'menghasilkan' lintah yang disterilkan sepenuhnya," katanya pada sidang media Persidangan Luka Global 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Perawatan Luka Asia (AWCA), Dr Sadanori Akita.

Harikrishna yang juga Presiden Persatuan Perawatan Luka Profesional Malaysia (MSWCP) berkata, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan bagi memulakan fasa terakhir kajian terapi lintah itu.

Sebaik kajian itu berakhir, katanya, teknologi itu akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang berminat sebelum ia digunakan di hospital kerajaan.

Mengulas lanjut, Harikrishna berkata pihaknya menggunakan lintah jenis hirudo nensis malenencis sepanjang 10 sentimeter dari Terengganu dan ibu negara.

"Ini hanyalah sebahagian daripada teknologi perubatan yang diterajui Malaysia selepas kita berjaya menggunakan terapi ulat untuk mengubat luka sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Persidangan Luka Global 2018 itu dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datin Dr Asmah Samat, mewakili Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Persidangan kali kelapan itu dihadiri lebih 600 delegasi dan 70 penceramah dari 40 negara, dengan 40 gerai pameran.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 7:21pm
d