mutakhir

Larangan straw plastik hanya untuk peniaga

Oleh Rohaniza Idris

LARANGAN penggunaan straw plastik konvensional bermula 1 Januari 2020 tidak membabitkan orang ramai sebaliknya dikuatkuasa kepada peniaga dan pengusaha kedai yang mempunyai lesen perniagaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, penguatkuasaan larangan itu akan ditujukan kepada peniaga dan pengusaha kedai makan yang menjadi pemegang lesen dan bukan terhadap rakyat.

Katanya, pada masa yang sama, straw yang bukan daripada jenis plastik konvensional akan turut disediakan sebagai alternatif.

"Inisiatif untuk mengehadkan penggunaan produk plastik konvensional yang berasaskan hidrokarbon telah diperkenalkan sejak 2016 dan telah dikuatkuasakan mulai 1 September 2017.

"Bagi meluaskan inisiatif ini, straw plastik konvensional dimasukkan sebagai salah satu produk yang dikelaskan di bawah produk yang mempunyai kesan negatif pada alam sekitar.

"Oleh itu, Kementerian Wilayah telah mengambil inisiatif untuk memasukkan larangan penggunaan straw plastik konvensional di dalam syarat-syarat lesen mulai 1 Januari 2019 supaya ia boleh dikuatkuasakan kelak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan segala kekeliruan berhubung pengharaman penggunaan straw di Wilayah Persekutuan.

Beberapa portal berita melaporkan larangan penggunaan straw di restoran dan kedai makan bermula 1 Januari depan.

Adnan menjelaskan penguatkuasaan penuh larangan penggunaan straw plastik konvensional hanya akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020.

Katanya, kempen kesedaran berhubung kesan negatif penggunaan straw plastik konvensional ini akan dilaksanakan sepanjang

tahun 2019 sehingga penguatkuasaan dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

"Kementerian Wilayah juga maklum mengenai keperluan golongan kurang upaya yang memerlukan straw dan bahan-bahan plastik dalam kehidupan harian mereka. Oleh itu, mereka akan dikecualikan daripada sebarang tindakan.

"Straw daripada bahan biodegradasi ataupun kertas boleh digunakan sebagai pengganti kepada straw plastik konvensional," katanya .

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 9:56pm
d