mutakhir

Dua beranak sakit jantung konon

Oleh Nordiana Shafiee

LELAKI warga Pakistan berpura-pura jatuh sakit di pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen negeri Anak Bukit, dekat Alor Setar, selepas enggan ditahan semula anggota penguatkuasa imigresen, kelmarin.

Dalam kejadian 7 malam itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit yang juga pemegang kad pengenalan merah itu mengeluh kesakitan sambil memegang dadanya.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, lelaki itu baharu dibebaskan selepas dipenjarakan selama sehari di penjara Pokok Sena kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan tentang penahanannya di lokap pejabat mengikut Seksyen 35, Akta Imigresen 1959/63, lelaki terbabit terus menimbulkan kekecohan kerana enggan ditahan semula sehingga ahli keluarganya turut campur tangan.

“Selang beberapa minit kemudian, bapa lelaki terbabit turut melakukan aksi sama membaringkan dirinya di atas lantai sambil mengadu sakit jantung.

“Bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, kami segera menghubungi ambulans dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini

Zuhair berkata, kedua beranak itu yang mendapatkan pemeriksaan di wad kecemasan HSB didapati dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang penyakit, bagaimanapun anak lelakinya ditahan.

Menurutnya, lelaki Pakistan itu kini berada di Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk menahan mereka selama 14 hari bagi menentukan status sebelum diusir keluar.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 10:25pm
d