mutakhir

Koperal polis direman SPRM [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KOPERAL polis direman empat hari bermula semalam, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah RM1,500 di Kuala Pilah bulan lalu.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Rahimah Rahim di Seremban selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM berkata, anggota yang bertugas di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah itu dibawa ke mahkamah dan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Katanya, suspek ditahan 10 pagi pada 24 Ogos lalu sebaik pihaknya menerima laporan daripada jurukimpal tempatan.

Katanya, lelaki itu memberitahu suspek meminta RM1,000 sebagai balasan bagi tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan menggaji tiga pekerja Bangladesh yang memiliki permit kerja di luar kawasan.

“Pada hari sama suspek meminta RM500 untuk setiap 20 haribulan bagi bulan berikutnya untuk tujuan sama.

“Susulan itu anggota polis lelaki terbabit ditahan dalam satu serbuan di sekitar Tanjung Ipoh, kelmarin,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 12:12am
d