mutakhir

Terkejut dengar bunyi berdentum, gegaran

Oleh Junaidi Ladjana

“KAMI terdengar bunyi dentuman disusuli gegaran, ingatkan apa yang berlaku rupa-rupanya simen konkrit runtuh,” kata Herman Ali, 30.

Runtuhan dari tingkat satu blok bangunan di Kampung Air, berhampiran stesen minyak, di Kota Kinabalu, 12.30 tengah malam tadi, turut menyebabkan sebuah kereta rosak, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Herman Ali yang juga pekerja restoran berkata, ketika kejadian dia sedang makan bersama pekerja lain sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat menyebabkan berlaku sedikit gegaran.

“Kami kemudian bergegas keluar sebelum melihat koridor konkrit di tingkat satu bersebelahan restoran runtuh.

“Nasib baik simen itu jatuh pada tengah malam sebab pada waktu pagi banyak kereta parkir di depan kedai itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu berkata, sebaik menerima panggilan pada 1.11 pagi, sebuah jentera bersama lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Anggota menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan didapati simen konkrit terjatuh namun tidak membabitkan kecederaan.

“Sebuah kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta itu mengalami kerosakan dan operasi ditamatkan pada 1.41 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya di kawasan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 9:00am
d