mutakhir

Pahang tak naikkan had umur perkahwinan

Oleh Amin Ridzuan Ishak

KERAJAAN Pahang tidak akan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun seperti dicadangkan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini kerana kes perkahwinan bawah umur di negeri ini adalah terlalu sedikit dan bukan isu.

“Kalau pun ada perkahwinan, ini satu cara mengatasi masalah daripada berlakunya hubungan luar nikah sehingga wanita terpaksa mengandung anak luar nikah yang lebih jijik berbanding perkahwinan muda.

“Lagi pun definisi bawah umur perlu diteliti kerana keupayaan dan kecerdasan manusia sebenarnya bukan terletak pada usianya yang semakin meningkat tetapi kesediaannya berfikir waras serta bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi NSTP, di Kuantan, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun, bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Kertas kerja mengenainya akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ia kemudiannya akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 10:57am
d