mutakhir

Tak cukup 25 pertuduhan, akan ditambah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan ditambah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini empat pertuduhan yang dikenakan hanya berdasarkan siasatan asas atau predicate offence.

Katanya, jumlah pertuduhan itu boleh bertambah berdasarkan hasil penemuan atau pengesanan terhadap aset lain terutama di luar negara yang menggunakan dana 1MDB.

“Saya tidak tolak kemungkinan berlakunya pertambahaan pertuduhan itu namun semuanya bergantung hasil siasatan dan sekiranya diizinkan oleh Peguam Negara.

“Ini kerana, empat pertuduhan oleh SPRM dikenakan terhadap Najib di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis lalu adalah bersandarkan transaksi wang RM2.6 bilion ke dalam akaun perbankan miliknya.

“Manakala, siasatan lain membabitkan pengesanan aset di luar negara sedang dijalankan adalah satu isu berbeza,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program bual bicara SPRM 360 terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, hari ini.

Azam berkata, dalam masa terdekat ini juga akan ada beberapa pihak bakal dituduh berkaitan kes 1MDB.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada SPRM tahu mengenai beberapa dokumen didedahkan Najib dalam laman Facebooknya dengan kenyataan ia sebagai bukti wang diterima adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi bersama penyata transaksi kewangan, beliau berkata, SPRM tidak tahu mengenai keasliannya.

“Saya tidak tahu mengenai keaslian dokumen berkenaan kerana siasatan SPRM adalah bersandarkan dokumen asli diperoleh dan bukan dokumen yang hanya ditunjukkan di media sosial.

“Malah, SPRM ada lebih banyak dokumen membabitkan siasatan dijalankan terhadap 1MDB,” katanya.

Malah, ketika menjawab mengenai soalan bahawa SPRM menutup siasatan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, Azam berkata, suruhanjaya itu tidak pernah berbuat demikian sebaliknya siasatan dijalankan secara berterusan termasuk berhubung dengan negara yang turut menyiasat 1MDB.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 6:11pm
d