mutakhir

Pendakian terakhir...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LELAKI meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Berembun di Jalan Pantai, di Seremban hari ini.

Hazrul Nizam Mohd Haranlani, 41, yang juga seorang pegawai kastam dikatakan pengsan dalam pendakian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.44 pagi.

“Sehubungan itu 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dan Senawang dikerahkan ke gunung berkenaan.

“Sebaik tiba jam 12.10 tengah hari, anggota memulakan pendakian dan menemui mangsa pada paras 1,200 meter dari aras laut.

“Ketika ditemui lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Norazam berkata, mayat mangsa kini masih dalam perjalanan turun oleh anggotanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, Hazrul Hizam menyertai ekspedisi itu bersama 26 rakannya dan mula mendaki gunung setinggi 2,077 meter dari aras laut itu pada jam 7 pagi.

“Buat masa ini mayat mangsa yang berasal dari Putrajaya sedang dibawa turun,” katanya.

Menurutnya, mayat akan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 9:12pm
d