mutakhir

[UPDATE] Mudir songsang sudah didakwa

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUSPEK kes liwat sembilan pelajar pusat tahfiz di pinggir Kuala Lumpur, sudah didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Seksyen Putrajaya, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan berhubung kes itu sudah dibuat dan suspek dituduh di Mahkamah Seksyen Putrajaya mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Laporan polis dibuat seorang guru di pusat tahfiz berkenaan yang tampil bersama semua mangsa berhubung kejadian itu pada 13 September lalu.

“Sembilan pelajar pusat tahfiz itu berusia 11 hingga 16 tahun memaklumkan kepada guru berkenaan mengenai perbuatan suspek berusia 30-an yang juga pengetua pusat tahfiz terbabit yang mencabul dan meliwat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes seumpamanya diminta tampil melaporkan perkara itu kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Hari ini, NSTP melaporkan seorang pemilik pusat tahfiz di pinggir Kuala Lumpur ditahan pihak polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual selain meliwat penuntut berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.

Berita berkaitan

'Mudir pemangsa bernafsu songsang'

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 11:48pm
d