mutakhir

10 sen pun bayar kalau akhlak tinggi - Maszlee

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

SESEORANG yang mempunyai akhlak tinggi akan berusaha membayar hutangnya, walaupun nilai hutang itu hanya 10 sen.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sikap membayar hutang perlu ada dalam setiap diri kerana ia membabitkan tanggungjawab moral.

“Tidak kira apa hutang sekalipun, hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), bank, adik-beradik... sikap kita sebagai seorang yang mempunyai akhlak, moral yang tinggi kalau berhutang perlu bayar.

“Ini tanggungjawab moral, di mana ia mencerminkan akhlak kita apabila kita berhutang perlu bayar walaupun hutang itu 10 sen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai jumlah hutang PTPTN yang meningkat kepada RM36 bilion kerana peminjamnya tidak amanah.

Perdana Menteri berkata, tindakan yang tidak amanah itu menyebabkan orang lain sukar mendapatkan pinjaman untuk membiayai pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, mereka yang meminjam itu bukannya tidak mampu membayar tetapi sengaja enggan membayar balik pinjaman.

Terdahulu, Dr Maszlee hadir ke majlis Anugerah Tokoh Siswa 2017 yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau.

Sebanyak 15 anugerah dipertandingkan mengikut kategori dan satu anugerah utama menjadi rebutan iaitu Tokoh Siswa Kebangsaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis berkenaan.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 10:02am
d