mutakhir

Pemandu rentung

Oleh Siraj Mohd Zaini

PEMANDU sebuah kereta rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas ke bahu jalan dan terbakar, dalam kejadian di Jalan Haji Abdul Manan, Klang, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, identiti mangsa yang memandu kereta jenama Nissan itu belum dapat disahkan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat tersepit sebelum terbakar di dalam kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kereta terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan melanggar tiga tiang konkrit serta sebatang pokok kelapa sawit sebelum terbakar.

Menurutnya, kemalangan berlaku di Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Polis memohon saksi yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi keterangan. Proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Identiti serta waris mangsa masih belum diperolehi sehingga kini berikutan kereta mangsa terbakar hampir 100 peratus," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 10:15am
d