mutakhir

'Port' melacur di inap desa

Oleh Nordiana Shafiee

SEGELINTIR wanita warga asing dikesan menjadikan sebuah inap desa di Taman SP Height, Sungai Petani, sebagai sarang pelacuran.

Mereka menawarkan bayaran serendah RM30 sejam kepada pelanggan yang kebanyakannya adalah warga asing.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, malam tadi.

Dalam Op Mega 4.0 bermula tengah malam sehingga jam 5 pagi itu, seorang lelaki dan wanita warga Myanmar tidak sempat melarikan diri.

Seorang lelaki warga Nepal ditahan ketika cuba melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik inap desa berkenaan.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, secara keseluruhan seramai 26 warga asing diperiksa di lima lokasi berasingan sekitar Sungai Petani.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai sembilan warga asing pelbagai warganegara ditahan di empat rumah sewa dan inap desa kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Ketika operasi ini, seorang wanita warga Indonesia cuba menyorok di bawah selimut di bahagian dapur rumah bagi mengelak ditahan, namun tindakannya gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, pemeriksaan awal mengesan semua warga asing terbabit tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah.

Menurutnya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 12:12pm
d