mutakhir

Kerap pindah cuba elak pihak berkuasa

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SINDIKET judi nombor ekor di Kelantan menggunakan taktik bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mengelak dikesan.

Sindiket itu juga berselindung di sebalik premis perniagaan seperti restoran, kedai ubat dan bengkel motosikal dengan menjalankan aktiviti perjudian secara kecil-kecilan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Malah ejen nombor ekor akan berpakat dengan pemilik premis dengan menyamar sebagai pelanggan.

Sumber berkata, sindiket itu tidak berada di satu-satu tempat dalam tempoh yang lama dengan berselindung di sebalik premis perniagaan kerana bimbang kegiatan mereka dikesan.

“Nombor ekor pun hanya dijual kepada pelanggan yang dikenali saja untuk elakkan penyamaran dikesan.

“Taktik ini diakui sedikit sebanyak menyukarkan tugas pihak berkuasa mengesan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai bengkel motosikal dan restoran di Machang yang dijadikan sarang perjudian nombor ekor, sumber berkata, polis sudah menyerbu lokasi itu beberapa kali.

“Dalam operasi sebelum ini, polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Kelantan berjaya menahan ahli sindiket terbabit dan mereka sudah dikenakan tindakan undang-undang.

“Selepas itu, polis sering buat pemantauan di lokasi terbabit namun mereka cukup licik menyembunyikan aktiviti mereka,” katanya.

Katanya, biarpun berdepan kesukaran, polis tetap menjalankan pemantauan dan operasi untuk membanteras aktiviti perjudian di negeri ini.

“Polis tidak pernah ambil ringan dan berkompromi dengan aktiviti perjudian. Setakat ini sudah banyak operasi dijalankan bagi melumpuhkan aktiviti tidak bermoral ini.

“Pada masa sama, kerjasama dari masyarakat diperlukan untuk salurkan maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi talian hotline Dadu 097455636 supaya aktiviti ini dapat dibanteras,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan beberapa premis di Machang menawarkan perkhidmatan pertaruhan nombor ekor tanpa lesen dengan hadiah kemenangan sehingga RM2,500.

Berita berkaitan:

Bengkel judi ekor [METROTV]

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 3:43pm
d