mutakhir

UMNO dijangka tidak bertanding [METROTV]

Oleh Fahmy Azril Rosli dan Mohd Iskandar Ibrahim

UMNO dijangka tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan datang.

Sumber dalaman UMNO mendakwa ketika ini kepemimpinan parti lebih cenderung untuk mengukuhkan hala tuju parti.

“Difahamkan UMNO belum membuat keputusan sama ada akan meletak calon pada PRK Port Dickson atau sebaliknya.

“Kemungkinan besar UMNO tidak akan meletakkan calon sebab pimpinan parti ketika ini lebih cenderung untuk memperkukuhkan UMNO,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, soal meletakkan calon pada PRK Port Dickson tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hari ini.

“Itu (keputusan letak calon) akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO esok,” katanya ketika ditemui media di lobi Menara Datuk Onn, hari ini.

Difahamkan, Mesyuarat Biro Politik itu akan dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Biro Politik.

Terdahulu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengumuman itu dibuat selepas Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding PRK terbabit.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut mengumumkan akan bertanding pada PRK sama.

Selain itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor dijangka akan meletakkan calon, manakala PAS pula menegaskan tidak akan meletakkan calon.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 6:28pm
d