mutakhir

Polis rampas 40 mesin judi [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

CUBAAN empat pekerja judi haram di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, memindahkan mesin judi bagi mengelak dirampas pihak berkuasa gagal selepas premis itu diserbu polis semalam.

Dalam serbuan bermula 5 petang itu, anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar merampas 40 mesin judi yang sedang diangkut keluar dari premis perjudian di tingkat satu rumah kedai terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit selepas menerima maklumat awam yang melihat pekerja sedang memunggah mesin judi.

Menurutnya, sebaik tiba, empat pekerja lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun sedang mengangkat keluar mesin judi sebelum anggota D7 bertindak menahan mereka.

“Turut dirampas lori yang digunakan untuk mengangkut mesin judi itu dan mereka kemudian dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, operasi berterusan membanteras aktiviti perjudian di daerah ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 11:51pm
d