mutakhir

Jangan 'marahkan nyamuk, kelambu dibakar' - Mufti WP

Oleh Fazrik Kamarudin

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini meminta semua pihak tidak mengeluarkan sebarang berbentuk spekulasi berhubung kes sembilan pelajar tahfiz yang didakwa diliwat pengetua mereka.

Beliau berkata, spekulasi hanya akan menimbulkan polemik yang lebih besar dan semua pihak diminta untuk menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan oleh mahkamah.

Katanya, institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak.

“Bagaimanapun, institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

“Membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pihaknya berharap semua pihak dapat menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak terpandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

Tegas beliau, keadilan adalah selama-lamanya tunjang yang utuh dalam Islam walaupun terhadap individu yang dibenci.

“Firman Allah SWT, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Ma’idah: 8).

“Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti mana-mana instiusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya.

“Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah. Semoga mendung ini bakal berlalu dan menghadirkan sinar kecemerlangan buat institusi tahfiz di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 11:36am
d