mutakhir

59% tak setuju

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seramai 59 peratus responden yang menyertai kaji selidik di Facebook (FB) Harian Metro mengenai isu larangan penggunaan straw plastik berpendapat ia tidak wajar dibuat.

Seramai 41 peratus responden lain pula mempunyai pandangan berbeza dan berpendapat ia wajar dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

Berdasarkan kebanyakan komen di FB Harian Metro, mereka berpendapat ia adalah langkah yang baik kerana dapat mendidik rakyat supaya menjaga alam sekitar.

Ada juga yang berpandangan sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah seperti itu kerana sesuatu perlu dilakukan demi menjaga alam sekitar dalam tempoh masa lama.

Netizen juga berpendapat banyak lagi isu boleh diambil kira oleh kerajaan antaranya pencemaran sungai serta penggunaan bahan plastik seperti beg plastik.

Bagi netizen D’win D’simun, usaha kerajaan untuk menggantikan straw berkenaan tidak bermakna ia akan memberi masalah kepada kehidupan harian.

“Haramkan bukan bermakna tiada penggunaan straw, kerajaan gantikan dengan yang lebih mesra alam,” katanya.

Seorang lagi netizen Hasridzuan Hassan berkata, banyak negara di Eropah sebelum ini sudah menguatkuasakan larangan sama dan ia membuktikan alam sekitar dapat dijaga dengan baik.

“Plastik dah lama diharamkan di Eropah dan US sbb sejenis material yg tak boleh larut..Plastik boleh mencemarkan alam sekitar dn pemanasan global.. Jika mahu bumi mahukan udara yg bersih segerakan kan lah stop penggunaan beg dn straw plastik..Sgt setuju cadangan ni,” katanya.

Bagi Mohd Farid, pelaksanaan larangan itu perlu dibuat mengikut lokasi bagi mengelak berlakunya pencemaran alam sekitar.

“Tengok lokasi jugak sebenarnya. Mana tmpt yg kawasan pantai n pulau pun ok diharamkan straw sbb takut haiwan laut makan,” katanya.

Sementara itu, dalam kaji selidik sama menerusi Twitter Harian Metro, responden mempunyai pandangan sama iaitu 50 peratus bersetuju dengan pelaksanaan terbabit manakala sebahagian lagi menyifatkannya tidak wajar.

Capai matlamat walau lambat

Kerajaan yakin usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar melalui larangan penggunaan straw plastik konvensional mencapai matlamat biarpun mengambil sedikit masa.

Ini kerana beberapa alternatif lain seperti straw biodegradasi atau kertas serta metal juga boleh digunakan apabila ia dikuatkuasakan kelak.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, langkah diambil kementerian itu bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat dan akan diperluaskan kepada penggunaan beg plastik.

“Kita dapati penggunaan straw minuman memberi kesan kepada alam sekitar. Jadi kita kuatkuasakan larangan ini bermula pada 2020 kepada pengusaha kedai makan,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 12:47pm
d