mutakhir

Adik ipar CEO dan suami pula direman

Oleh Sarah Zulkifli

ADIK ipar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, dan suaminya ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh CEO itu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 41 tahun.

Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman pada 9 September lalu, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Terdahulu, mereka tiba di mahkamah pada jam 11 pagi kemudian diiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Cradle Fund ialah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 1:58pm
d