mutakhir

Bukan nak publisiti murahan - Zek Ayry

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“VIDEO itu dirakam pada 2016 ketika menjalankan rawatan perubatan untuk merungkai misteri di Jalan Seelong, Johor. Saya bukan mahu meraih populariti seperti dakwaan pihak tertentu sehingga saya menjadi bahan kecaman netizen di laman sosial.”

Demikian luah Pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Haq Zek Menyingkap Tirai Ghaib, Zek Ayry Khan yang menjadi mangsa kecaman netizen selepas didakwa cuba mencari publisiti dan populariti susulan video rawatan dijalankannya tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Video berdurasi lima minit yang dirakam pada 21 Ogos 2016 itu memaparkan Zek Ayry yang dikenali sebagai Ustaz Zek sedang menjalankan ‘tugas’ untuk merungkai misteri Jalan Seelong yang kerap berlaku kemalangan menggunakan ilmu dimilikinya.

Video berkenaan menjadi tular sehingga dikongsi sebanyak 22,000 kali di Facebook (FB) dan mendapat reaksi negatif daripada netizen.

Zek Ayry berkata, dia terkilan dengan sikap netizen yang terlalu cepat memberi tanggapan negatif sehingga tergamak melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah kepadanya, kononnya kaedah perubatan yang dijalankan itu menjurus kepada amalan syirik.

“Sudah 16 tahun saya bergiat dalam amalan perubatan Islam ini dan apa yang dijalankan itu ialah untuk membantu golongan yang bermasalah berkaitan penyakit misteri dan gangguan jin.

“Rakaman rawatan yang tular itu dirakam untuk Program Menyingkap Tirai Ghaib bagi siaran televisyen dan bukan sengaja dirakam untuk mencari publisiti atau tujuan tertentu seperti yang didakwa.

“Video itu mungkin diambil dari YouTube dan kemudian diringkaskan sebelum tular di laman sosial.

“Jika diikutkan, video penuhnya berdurasi 15 minit, justeru apabila video itu diringkaskan ia tidak memberi gambaran sebenar sehingga menimbulkan fitnah,” katanya.

Beliau berkata, sudah banyak jalan dan lebuh raya yang dikatakan mempunyai masalah gangguan makhluk ghaib diselesaikan dengan ilmu perubatan Islam dimilikinya.

“Sebelum ini, di Kilometer 77 dari Johor ke Mersing dan Jalan Pontian Lama, Johor, pernah menjalani rawatan sama kerana masalah gangguan sehingga berlaku banyak kemalangan maut, tetapi rakaman rawatan di situ tidak menjadi tular.

“Saya juga banyak menerima undangan daripada pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah sama dan penyakit berkaitan gangguan di seluruh negeri selain Singapura, Indonesia dan Brunei dengan bantuan antara 10 hingga 30 sukarelawan.

“Amalan perubatan seperti ini tidak pelik kerana sehingga kini ia sudah banyak merungkai dan menyelesaikan banyak misteri dialami masyarakat,” katanya yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Iman Heart.

Beliau berharap kecaman dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya dihentikan kerana ia secara tidak langsung memberikan imej yang tidak baik terhadap pusat rawatannya.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 3:37pm
d